Salam hormat.
Biar pun perayaan Aidilfitri ini sudah berlalu, namun tentunya tips memilih langsir untuk kediaman atau rumah yang ingin saya kongsikan di sini tentunya tetap berguna untuk para suri rumah yang mahukan kediamannya tampil indah serta serba sempurna setiap masa.
Mungkin juga ada yang akan memasuki rumah baru jadi pasti saja tak lepas dari memikirkan langsir yang bagaimanakah sesuai untuk ditatarias pada tingkap serta pintu gelangsar ( sliding door ).
Kesilapan memilih jenis atau gaya langsir, jenis fabrik serta warna bukan sahaja akan mencacatkan hiasan dalaman sesebuah rumah tetapi mungkin juga akan menyebabkan pembaziran di samping menjejaskan tujuan sebenar pemasangan langsir iaitu untuk melindungi pandangan tidak sewajarnya dari luar. Apabila tidak berpuas hati dengan langsir yang dipasang, bukannya mudah pula untuk menukarnya sesuka hati kerana ia juga akan melibatkan kos yang bukan sedikit. Melainkan anda seorang jutawan, bolehlah buat begitu kan…hmm ( Jutawan pun belum tentu buat macam tu hihi)
Ok untuk mengelakkan daripada berlakunya kesilapan-kesilapan di atas, apa kata cuba ikuti panduan ringkas tips memilih langsir untuk kediaman seperti senarai di bawah. Bukanlah ini memandai-mandai saya tulis. Sekadar berkongsi pengetahuan yang diperoleh daripada pembacaan.
- Pilih mengikut kesesuaian atau tema rumah anda
Pemilihan mestilah dibuat berdasarkan konsep dekorasi serta warna cat pada dinding rumah. Contohnya jika elemen warna kediaman anda berdasarkan rona bumi iaitu coklat, kelabu atau krim, maka langsir yang dipilih mestilah memiliki warna serupa atau seakan serupa TETAPI diserikan dengan motif atau corak flora atau geometri untuk mewujudkan keseimbangan pada ruang yang rata. Langsir dengan warna polos atau plain ( tiada motif ) mungkin tidak dapat membangkitkan seri sesebuah ruang. Ia akan menyebabkan ruang menjadi suram.
- Pilih sama ada kain jarang atau tebal
Bagi sesebuah bilik atau ruang dengan pencahayaan terkawal iaitu ruang yang gelap oleh sebab binaannya yang terlindung, terhadang oleh sesuatu atau kurang tingkap maka penggunaan kain langsir sedikit jarang perlu dipertimbangkan supaya ia berfungsi sebagai pelindung, bukan untuk ‘menggelapkan’ lagi sesuatu ruang.
Sebaliknya jika sliding door utama terletak berhadapan dengan cahaya matahari yang terang serta menghasilkan silau, langsir daripada kain tebal patut diutamakan
- Kenalpasti ukuran
Ha, tips ke-3 ini sangat penting untuk diikuti ketika anda membuat keputusan membeli langsir siap jahit atau ketika mengupah tukang jahit untuk menjahitnya.Pastikan dengan teliti ukuran yang diambil sepadan dengan keperluan tingkap atau pintu rumah anda.
- Pilih rod langsir yang lebih panjang
Mengapa agaknya ? Ini kerana rod yang berada dalam anggaran panjang sekitar 20 sehingga 35 cm akan dapat memberikan ilusi seolah-olah saiz tingkap atau pintu rumah anda lebih panjang atau lebar.
Sebab lainnya ialah untuk membolehkan anda menolak langsir ke kedua-dua belah sisi jendela dan tidak menghalang atau menutup panel tingkap yang boleh menyebabkan keterbatasan pandangan.
- Pilih langsir lebih panjang / labuh
Ini bagi membolehkan anda bereksperimen dan memberi nilai tambah kepada dinding khususnya bagi sesebuah ruang yang luas walaupun mungkin sesetengah tingkap di rumah anda bukannya memanjang.
Ok, 5 tips memilih langsir untuk kediaman ini bukanlah satu-satunya tips yang boleh anda jadikan rujukan. Terdapat banyak lagi ciri tambahan yang perlu anda pelajari jika ingin menata rias kediaman sehebat kediaman-kediaman mewah seperti di luar sana. Ada banyak pilihan majalah dekorasi yang dijual di pasaran fizikal atau online termasuk Panduan Dekorasi Untuk Kediaman Kecil ini.
Namun, jika anda memiliki kemampuan,apa salahnya dapatkan khidmat runding daripada juruhias dalaman untuk mencantikkan rumah anda. Berbaloi berhabis sedikit jika kena caranya
Rujukan : Kosmo! 20 Mei 2013
No comments:
Post a Comment